Assalamualaikum rakan-rakan...
Permulaan langkah saya ini, mohon doakan saya mampu untuk melakukan dan menghabiskan setelah apa yang saya dah mulakan. Nampak mudah untuk menulis sesuatu perkara, tetapi tulisan memerlukan penghayatan dan hati yang diletakkan pada penulisan supaya apa yang ingin disampaikan, sampai kepada pembaca. Alhamdulillah, secara tidak sedar, saya telah melakukan langkah pertama 3 tahun dahulu untuk mencatatkan kisah arwah ayahanda saya. Tapi, ianya cuma separuh jalan. Semangat yang tidak kuat dan hal-hal berkaitan 'semestinya' dijadikan alasan.
Kepakaran saya adalah dalam menyampaikan perkara yang mungkin tidak terfikir oleh orang lain tetapi dengan melalui penulisan, saya mampu untuk mengubah persepsi pandangan orang terhadap sesuatu perkara. Bagaimana saya ingin lakukan adalah dengan menghasilkan penulisan berdasarkan pengalaman sendiri dan juga pengalaman mereka yang sedia untuk berkongsi agar pembaca dapat menilai dan melihat sesuatu perkara yang mungkin dianggap remeh lantas boleh menjadi satu sudut dan perspektif yang berbeza dan mungkin boleh memberi impak yang berlainan kepada pemikiran biasa dan juga emosi.
Bermula dengan minat, ia boleh menjadi kepakaran. Lalui hidup kita dengan sabar kerana setiap saat Allah telah rancangkan dan suatu ketika nanti ia menjadi kisah yang indah untuk dikenang. Setiap dugaan Allah berikan untuk menguji kita sebagai hamba, gunakan ujian untuk mendidik diri menjadi lebih baik. Bersangka-baiklah denganNya kerana tidak pernah sesaat pun Allah tentukan dalam hidup manusia itu sesuatu yang membazir. Insha Allah, sama-sama kita lalui hidup ini dengan sabar dan redha.
"Jika kita bergantung hidup dan kepercayaan pada manusia, percayalah, kita akan kecewa. Jika kita bergantung dan percaya pada Allah, nescaya kita tidak akan pernah kesal dengan apa yang terjadi dalam hidup kita"
“Ingatlah, hanya dengan mengingat Allah-lah hati menjadi tenteram.” ( QS Ar Ra’d : 28 )
“Janganlah kamu bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita.” ( QS.At -Taubah : 40 )
No comments:
Post a Comment